Sunday, April 19, 2009

KARYA AGUNG

ASSALAMUALAIKUM,

APA KHABAR? LUAR BIASA SEKALI..

kali ini saya sampaikan sebuah cerita yang telah diolah balik ..

saya ambil dari blog saifulislam.com,diharap membawa pengetian kepada anda

semua...



“Allahu Akbar… Allahu Akbar…”, khatib sedang berkhutbah.

Suaranya begitu bertenaga.
Ketika itu, saya sedang mengusap-usap kepala Saiful Islam yang duduk bersandar di riba usai solat Sunat Aidilfitri.
Perasaan saya sedikit berkecamuk. Banyak yang bersarang, sarat di fikiran.
Semenjak dua tiga hari terakhir Ramadhan jiwa saya begitu resah melambai perginya dia. Tidak terasa meriahnya ketibaan Aidilfitri.

Adakalanya terasa bersalah kepada anak-anak, bimbang keresahan hati ini mengganggu gembira mereka menyambut lebaran. Anak-anak tidak bersalah, justeru sebagai ayah… andai saya tidak mampu untuk gembira, saya perlukan daya untuk terus menggembirakan, kerana itu hak mereka.
Tambahan pula Saiful Islam yang berjaya menyempurnakan lebih 20 hari puasa penuhnya pada percubaan pertama berpuasa dia.
Suasana khutbah hening, cuaca damai selepas simbahan gerimis subuh 1 Syawwal.


ADAT BERMAAFAN ATAU IBADAT


Selesai khutbah, saya bangkit bersalaman. Ada semacam yang tidak kena tatkala mendengar ungkapan-ungkapan “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin”.


“Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah.” [Riwayat Abu Dawood]


Namun apakah permohonan maaf itu suatu permohonan, atau sekadar kalam tanpa makna yang terlafaz sebagai adat? Luruskah hati antara dua insan yang meminta dan memberi maaf itu, andai ungkapan yang diucap, kosong dari makna dan penghayatan? Bisakah ucapan yang gersang itu meraih keampunan yang dijanjikan Dia?


“Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai” [Riwayat al-Hakim dan al-Tirmidhi yang menghasankannya]


Pada doa-doa yang acap disebut oleh setiap mereka yang bersalaman, saya tidak mahu doa yang satu ini terungkap dari hati yang alpa. Saya mesti memaksudkannya. Saya mesti bersungguh dengannya. Hati saya terbeban mendamba kemaafan dari bonda… kemaafan yang bukan sekadar perhiasan Aidilfitri. Tetapi permohonan yang menjadi penentu kepada damainya jiwa ini…
Saya segera mencari bonda.


AMPUNKAN ANAKANDA


“Emak, Rizal minta ampun dan maaf dari emak. Rizal jarang dapat balik ke kampung menjenguk emak. Telefon pun sekali sekala. Emak sunyi di kampung. Ampunkan Rizal, mak!”, saya mencium tangan dan memeluk emak.


Tubuh emak yang semakin kurus dan uzur itu menggeletar. Emak menangis sama. Tiada suara. Hanya esakan yang kedengaran.


Saya tidak mahu bertangguh lagi. Segalanya harus jernih di pagi Aidilfitri. Saya mahu lahir semula bersih bagai kain putih. Hanya Maghfirah Allah, dan ampun seorang ibu yang bisa memungkinkannya.


“Rizal sungguh-sungguh minta ampun, mak”, saya terus memeluk emak erat.
“Iya… emak pun… emak sudah tua… emak…”, susah sekali emak mahu menyudahkan kalamnya.
Dalam pelukan ibu, terasa bagai turun sakinah dari langit… bagai didakap sebuah syurga.
Namun, itulah emak… yang bersalah adalah saya, si anak ini. Tetapi emak sentiasa begitu… tidak lengah memberi maaf, berputik dari jiwa seorang ibu yang mengasihi anak-anaknya dengan CINTA TANPA SYARAT. Malah di celah memberi maaf, emak pula yang meminta maaf…


MAAF MENAMBAH KASIH


Manusia lain mungkin boleh memaafkan, tetapi maafnya sukar menambah kasih. Mungkin lidahnya mengucap maaf, tetapi hatinya tidak menginginkan pertemuan kedua. Biarlah segalanya selesai di sini. “Aku enggan bertemu kamu di Akhirat sana!”, kata hatinya yang berbekas pada maaf yang meninggalkan tawar dan hambar untuk sebuah persahabatan.
Tetapi tidak Dia.
Tidak bagi Allah SWT iaitu Tuhan yang Ghafur lagi Rahim. Bukan sahaja Maha Pengampun, malah Dia juga yang Maha Penyayang. Bukan sahaja Diri-Nya suka mengurniakan keampunan, malah setiap insan yang memohon ampun itu dikasihi dan disayangi-Nya. Keampunan yang disusuli kasih sayang-Nya, adalah sesuatu yang Maha Tinggi. Itulah Dia, Allah yang Ghaffar, Allah yang Rahim.
Tiada makhluk yang mampu mengambil acuan itu… memaafkan, dan seterusnya menyayangi. Malah lebih kerap seorang insan terpaksa memaafkan insan yang lain, akan menjadikan hubungan semakin hambar dan tawar.
Kecuali ibu…
Hanya dia yang Allah limpahkan dengan cenderung yang begitu, bahawa anak yang memohon ampun diampunkannya. Kemaafan tanpa syarat kerana sayang, kemaafan yang seterusnya menambah lagi sayang itu. Hati seorang ibu…


Pada usia bonda yang lewat senja, saya tidak mahu membiarkannya sunyi dan lara lagi. Tak tertanggung rasanya kesal di hati setiap kali membayangkan bonda sendirian menjamah nasi, di meja yang pernah seketika meriah dengan gelak tawa dan gurau senda seisi keluarga.
Sentiasalah bibir ini kubasahkan dengan doa untukmu.
Sentiasa jualah diri ini memberi diri dan masa, untuk berbicara dan mendengar bicaramu… aduhai bonda.


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):


“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [Al-Israa’ 17: 24]


PETANG ITU


“Cerita itu besar ertinya kepada ana”, kata Abang Zabidi Mohamed.
Saya termenung di meja menatap merah mentari senja. Teman saya, Al-Adib di sisi, turut sepi.
Petang itu saya mengambil peluang menemani al-Adib untuk bertemu dengan Abang Zabidi Mohamed, penulis skrip drama yang prolifik lagi unik. Banyak yang kami bualkan, termasuk mencari idea-idea baru untuk menghasilkan drama yang berkualiti.
“Apa atau siapa watak utama yang anta rasakan di dalam drama IHSAN itu?”, tanya Zabidi.
“Mungkin ramai yang melihat Nordin. Tetapi bagi ana, watak utamanya adalah Zamri, majistret itu. Beban cerita itu adalah pada Zamri. Anak yang baik tetapi berdosa tanpa sedar kerana SIBUK. SIBUK yang menjadi punca SUNYI dan TERKILANnya seorang ibu”, saya bersuara.
Terasa hangat mata bergenang basah.

“Tidak keterlaluan kalau ana katakan, Jemaah al-Arqam dulu hancur binasa cukup oleh tangisan mata dan retak hati ibu-ibu yang terluka di sepanjang liku perjuangan itu dulu. Jemaah yang ditimpa murka Allah kerana ramai yang hidup dalam murka bonda”, saya menyambung kata.
Kami saling mendiamkan diri.
Perbualan petang itu hening.
BUKAN ‘ALQAMAH
Tentu sahaja ramai yang terkenangkan kisah ‘Alqamah. Tetapi bukan itu resahnya saya.
Kisah ‘Alqamah itu dinukilkan oleh al-Imam al-Dhahabi Rahimahullah, di dalam kitab al-Kabaair. Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Zawaajir. Riwayat itu dinisbahkan kepada al-Thabarani dan Ahmad, tanpa sebarang komentar ke atas sanadnya atau menyatakan apa-apa hukum ke atas riwayat itu. Akan tetapi al-Sheikh al-Albani di dalam komentarnya ke atas kitab al-Targheeb wa al-Tarheeb oleh al-Imam al-Hafeedz al-Mundhiri berpandangan bahawa kisah ‘Alqamah ini sangat dhaif. Riwayat ini pada kitab yang dinyatakan tersebut diangkakan sebagai 1487.
Biar pun kisah ‘Alqamah yang masyhur itu mungkin menjadi inspirasi kepada drama IHSAN, hakikat betapa saya mendambakan keampunan ibu sudah cukup nyata pada sakit dan resahnya jiwa menanggung cuai yang bagai api di dalam sekam ini. Jika ada sesuatu yang tidak kena, janganlah bertangguh, segeralah muhasabah diri terhadap bonda.
Moga kemaafan yang kupohon dari ibu di pagi lebaran kelmarin, menjadi bekal untuk menyuluh jalan Mardhatillah hingga mencecah Husnul Khaatimah, ameen ya Allah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment